suria

Inspektor Polis Terima Rasuah Didenda

Amrin Paiman

IPOH: Seorang Inspektor polis pada Jumaat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah RM1,500, empat tahun lalu.

Sekiranya gagal menjelaskan denda itu, Amrin Paiman yang kini digantung daripada tugas sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik, Bahagian Ketenteraman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berdepan hukuman penjara selama enam bulan.

Keputusan dibuat Hakim S.Indra Nehru selepas Amrin mengaku bersalah menerima wang tunai RM1,500 daripada Khor Kwong Yik pada 10 April menerusi pindahan tunai ke dalam akaun CIMB miliknya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Amrin menerima wang tunai itu sebagai balasan untuk tidak mengenakan tindakan ke atas Khor yang memandu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada 2008.

Bagi kesalahan itu, Amrin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Muhammad Fadhli merayu mahkamah mengenakan denda yang ringan ke atas anak guamnya kerana telah mengaku bersalah dan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selepas berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama 31 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan penjawat awam.

"Tertuduh juga bernasib baik kerana diberi tuduhan pilihan yang pertuduhan asal jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun," katanya.

Di mahkamah sama, Amrin dilepas dan dibebaskan terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,200 tiga tahun lepas.

Ketika dihadapkan di Mahkamah Seksyen pada Selasa, Amrin mengaku tidak bersalah meminta suapan daripada Amir Hakim Amel Rosmadi@Adek sebanyak RM500 pada 13 Nov dan menerima suapan RM700 sehari kemudiannya.

Amrin didakwa meminta dan menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak menuduh Amir Hakim di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Artikel Lain