suria

PRN Sarawak: Isu Agihan Kerusi Belum Selesai

KUCHING: Walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diumumkan, beberapa kerusi dan isu-isu pencalonan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih belum diselesaikan.

Dua daripadanya, SUPP dan SPDP masih terlibat dengan tuntutan bertindih kerusi membabitkan parti serpihan mereka iaitu UPP dan Teras.

Ahli daripada empat parti, kecuali Naib Presiden SUPP, Datuk Francis Harden, tidak hadir ketika Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan tarikh pembubaran DUN pada Khamis.

Presiden PRS, Tan Sri James Masing berkata beliau "terkejut" apabila Adenan mahu membuat pengumuman itu selepas mesyuarat Kabinet negeri.

"Selepas mesyuarat itu, kami makan tengah hari. Keadaan adalah sangat tenang. Kami memandang antara satu sama lain - sambil terfikir siapa yang akan dikekalkan sebagai calon?" katanya pada Khamis.

PRS adalah satu-satunya parti Barisan Nasional (BN) yang semua calonnya sudah disahkan dan diumumkan Adenan.

PRS akan bertanding di 11 kerusi.

"Kami tidak ada masalah. Nasihat saya kepada pihak yang terlibat, sila selesaikan masalah anda dengan segera kerana kita tidak mempunyai banyak masa lagi," kata Masing.

Daripada 82 kerusi, BN masih belum mengumumkan separuh daripadanya.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pilihan raya negeri akan datang adalah kritikal untuk rakyat Sarawak kerana salah satu isu utama adalah untuk memperoleh autonomi negeri.

"Hanya kerajaan negeri yang kuat boleh meyakinkan Kerajaan Persekutuan dalam rundingan," kata Dr Sim.

Beliau menambah bahawa "pasukan baru" SUPP telah memberi tumpuan kepada akar umbi dan bersedia untuk pilihan raya akan datang.

Lawannya, Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata Adenan mempunyai kata pemutus terhadap isu itu.

"Kami serahkan kepada Ketua Menteri untuk memilih parti yang paling boleh menang untuk menjadi sebahagian daripada pasukannya," katanya.

Adenan Satem, PRN Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Perniagaan Makin Faham GST

Artikel Lain