suria

Kerajaan Disaran Kaji Semula Perkhidmatan Teksi Seluruh Negara

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pada Isnin mencadangkan kerajaan mengkaji semula perkhidmatan teksi di negara ini supaya ia dapat kekal berdaya saing.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Bahru) berkata kerajaan harus melihat bagaimana penggunaan teknologi Internet, seperti yang digunakan perkhidmatan teksi Uber yang boleh dioptimumkan untuk membantu meningkatkan pelanggan pemandu teksi konventional sedia ada.

"Perlu saya cadangkan supaya kerajaan kaji semula perkhidmatan teksi di negara ini seperti bagaimana membantu mengurangkan kos pemeriksaan kenderaan yang membebankan.

"Pengurangan kos-kos ini akan dapat membantu meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2015) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat Isnin.

Mengambil contoh perkhidmatan Uber yang semakin berkembang, Shahrir berkata ia bukan sahaja mampu menawarkan harga tambang yang lebih rendah berbanding dengan perkhidmatan teksi konvensional.

Uber turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan kelainan upaya seperti orang pekak untuk menjana pendapatan sampingan, katanya berkongsi pengalaman pernah dibawa oleh seorang pemandu teksi Uber yang pekak.

Shahrir turut mencadangkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memperbanyakkan lagi perkhidmatan mereka secara francais bagi memudahkan pemandu teksi melakukan pemeriksaan berkala ke atas teksi mereka.

Sementara itu, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) juga meminta Kementerian Pengangkutan menyiasat punca kaunter-kaunter jualan tiket Malaysia Airlines Berhad (MAB) di lapangan-lapangan terbang di Semenanjung Malaysia ditutup.

Beliau berkata penutupan kaunter-kaunter tersebut menyukarkan pelanggan yang terpaksa membeli tiket pada saat akhir.

Katanya beliau telah menyaksikan sendiri beberapa kali bagaimana pelanggan tidak dapat menggunakan penerbangan MAB kerana tidak dapat membeli tiket di kaunter pada saat akhir manakala pembelian tiket melalui telefon hanya dibenarkan bagi yang awal lebih dari dua jam sebelum penerbangan.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata kementerian akan mencadangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan tempoh pembayaran bantuan kematian kepada pencarum sehingga usia 60 tahun.

Katanya ia selaras dengan perubahan dasar kerajaan berkenaan usia persaraan kakitangan awam daripada 55 ke 60 tahun.

"Berkenaan tuntutan daripada waris, ia hanya boleh dibuat dalam tempoh enam bulan daripada kematian ahli, kita juga akan meminta KWSP untuk mempertimbangkan semula peraturan berkenaan," katanya.

Ketika ini, bantuan kematian sebanyak RM2,500 dibayar kepada orang tanggungan atau waris terdekat ahli apabila permohonan dibuat.

Bantuan ini akan diberikan sekali sahaja dan perlu mematuhi syarat-syarat iaitu wargenara Malaysia, ahli belum mencapai umur 55 tahun semasa kematian dan permohonan dibuat dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kematian ahli.

Terdahulu, rang undang-undang itu yang mengusulkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM3.31 bilion dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Sebahagian besar peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Terkanun iaitu sebanyak RM2.33 bilion dan selebihnya akan disalurkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan, Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri.

Turut menerima sebahagian peruntukan tambahan itu adalah Kementerian Pendidikan yang membabitkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM125 juta.


Artikel Lain