suria

Mangsa Keracunan Makan Di Sebuah Gerai Meninggal Dunia

IPOH: Seorang mangsa keracunan makanan di Siputeh, Batu Gajah, dekat sini yang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sejak 4 Mac lepas, meninggal dunia Rabu malam.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juwita Ghazali berkata mangsa Hawa Buyong, 46, meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 malam tadi di Unit Rawatan Rapi akibat komplikasi yang menyebabkan oksigen tidak cukup disalurkan ke otaknya.

"Allahyarham merupakan mangsa terakhir yang masih menerima rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Mac lepas, kira-kira 102 orang menjalani pemeriksaan dan rawatan di beberapa hospital di sekitar Ipoh dan Batu Gajah kerana mempunyai simptom keracunan makanan yang berpunca daripada racun serangga jenis karbamat yang terdapat dalam beberapa jenis makanan di sebuah gerai di Batu Gajah.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut  melawat jenazah di HRPB, berkata kes sedemikian perlu diberi perhatian dengan memberi penekanan kepada kualiti dan keselamatan makanan.

"Kes ini amat menyedihkan. Kita telah memberi rawatan yang terbaik kepada mangsa," katanya yang turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Siputeh.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mempertingkatkan pemeriksaan kebersihan makanan di kilang dan kedai makan selaras dengan Program Sehat anjuran Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjaga.

Artikel Lain