suria

Pelajar Kolej Swasta Ditahan Cuba Cabul Pelajar Sekolah Agama

- Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta ditahan sekumpulan guru Sekolah Rendah Agama (Integrasi) Seksyen 19 di sini, setelah disyaki cuba mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata suspek yang berusia 22 tahun telah menceroboh masuk ke dalam sekolah itu sebanyak dua kali pada 12 tengah hari dan 4 petang, Isnin.

Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai masuk melalui saluran longkang di belakang sekolah berkenaan pada waktu tengah hari sebelum bersembunyi di tandas pelajar perempuan.

"Suspek cuba memeluk seorang pelajar perempuan Tahun Lima yang pergi ke tandas berseorangan...mangsa yang ketakutan berjaya melepaskan diri daripada suspek dan melaporkan perkara itu kepada guru," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Katanya pihak sekolah kemudian bertindak mengunci pintu tandas berkenaan.

Bagaimanapun, katanya empat jam kemudian, lelaki terbabit sekali lagi ke sekolah itu untuk mengintai pelajar perempuan dalam tandas tetapi tidak berjaya kerana ia telah dikunci oleh pihak sekolah.

"Suspek kemudian beredar namun disedari oleh beberapa guru ketika melintasi bilik Panatia Sekolah sebelum mereka bertindak menahan suspek," katanya.

Shafien berkata suspek kemudian diserahkan ke Balai Polis Shah Alam.

Suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, katanya.

Artikel Lain