PRU-14: PAS Sedia Hadapi Pakatan Harapan - Hadi - Semasa | mStar

PRU-14: PAS Sedia Hadapi Pakatan Harapan - Hadi

Abdul Hadi
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR: PAS bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) termasuk menentang parti dalam Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu pada masa ini tidak merancang untuk berundur daripada mana-mana kerusi bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

"Kita tetap dengan pendirian untuk kekal dengan gabungan kita sendiri pada ketika ini.

"Terpulang pada pihak lain (Pakatan Harapan atau Barisan Nasional) untuk menerima konsep kita atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan parti itu akan berbincang dengan PKR bagi mengelak bertanding kerusi yang sama dan pertembungan tiga penjuru dalam kalangan pembangkang.

Pada 17 Mac lepas, PAS mengumumkan pembentukan permuafakatan bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), sekali gus mewujudkan blok politik ketiga di negara ini.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam perkara yang baik, termasuk dalam soal politik.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini perjuangan kedua-dua parti masih berbeza.

"Sehingga sekarang kita (PAS dan BN) masih perlu bertanding, kita tunggulah pilihan raya umum nanti," katanya.
PRU-14 , Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"