suria

Pengutip Derma Warga Thailand Dibunuh Di Tanjung Karang

SHAH ALAM: Hasrat seorang warga Thailand untuk mengutip derma bagi sebuah  masjid di Narathiwat, Selatan Thailand tidak kesampaian apabila beliau ditemui mati dipercayai dibunuh oleh seorang lelakidalam satu rompakan di hadapan sebuah kedai di Jalan Bagan Lama di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, mangsa dikenali Chemusor Masor,59, bersama jirannya menaiki kereta dipandu anak lelaki mangsa sedang menuju ke pekan Tanjong Karang dari rumah sewa Kampung Sri Indah, Sungai Buloh untuk mengutip derma bagi masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata kesemua mereka kemudian turun di sebuah bank di pekan Tanjong Karang dan berpecah untuk mengutip derma.


"Ketika mangsa berada di tepi kaki lima deretan kedai Jalan Bagan Lama,Tanjong Karang, (dia) telah didatangi dua lelaki memakai topi keledar tanpa visor yang menaiki sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha LC warna merah sebelum salah seorang suspek cuba merampas beg silang yang dibawa oleh si mati.

Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek berkenaan sebelum menikam mangsa di bahagian tengah dada dan di rusuk bawah ketiak kiri dan terus melarikan telefon bimbit dan wang tunai yang diletakkan dalam kotak derma yang dibawa mangsa.

"Sejurus kemudian, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal mereka ke arah Jalan Besar Tanjong Karang,"  katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ruslan berkata pengutip derma dengan tiga kesan tikaman itu dapat berjalan ke arah sebuah kedai yang jaraknya kira-kira 21.6 meter dari tempat ditikam sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tanjong Karang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain