suria

Jawatan Tun Mahathir Sebagai Penaung Mubarak Terlucut Selepas Keluar Umno

Abdul Aziz Rahman (duduk, dua kiri) bersama sebahagian NGO mengangkat tangan bersama selepas menandatangani kenyataan bersama menentang gerakan kumpulan menggulingkan kerajaan pada Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Jawatan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) terlucut secara automatik selepas beliau mengisytiharkan keluar daripada Umno.

Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak pagi ini yang menganggap pendirian Dr Mahathir ketika ini bercanggah dengan objektif pertubuhan itu untuk menyokong pemerintahan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tun M dilantik sebagai penaung kerana beliau merupakan ahli Umno dan anggota Barisan Nasional (BN), dan ahli-ahli Mubarak juga terdiri daripada (bekas) Ahli Dewan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang semuanya BN. 

"Objektif kita untuk menyokong BN dan memberi sokongan padu kepada kerajaan sedia ada, dan apabila Tun M keluar daripada Umno kali kedua dan bersekongkol pula dengan parti lawan yang menentang BN dan Umno, jadi kita buat keputusan untuk mengucapkan terima kasih kepada khidmat dan sumbangan beliau selama ini,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Menandatangani Kenyataan Bersama Mubarak dengan 43 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia Menentang Gerakan Kumpulan Menggulingkan Kerajaan, di sini pada Khamis.

Abdul Aziz berkata pihaknya sedih dan terkilan dengan tindakan Dr Mahathir yang menjadi penaung Mubarak sejak 2005 itu mengadakan 'Deklarasi Mahathir' baru-baru ini demi kepentingan peribadinya.

Pada 29 Februari lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada Umno selepas dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan ketika ini. 

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah keluar daripada Umno pada 19 Mei 2008selepas beliau dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteridan presiden Umno ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu, Abdul Aziz mengetuai 43 NGO itu antaranya Veteran Umno Malaysia,Gerakan Belia 4B, dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam kenyataan bersama menentang dan mengutuk sekeras-kerasnya gerakan diketuai Dr Mahathir untuk menjatuhkan kepimpinan dan kerajaan.

Beliau berkata sikap dan tindakan yang dibuat oleh gerakan tersebut adalah bertujuan menghasut pemikiran rakyat sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara, agama dan bangsa. 

"Rancangan kumpulan ini untuk mengadakan 'roadshow' di seluruh negara adalah untuk menghasut rakyat supaya menentang kerajaan melalui kaedah 'Arab Spring' yang berkesudahan dengan suasana huru-hara seperti yang dialami beberapa buah negara di Timur Tengah ketika ini," katanya.

Justeru beliau menggesa rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan tersebut dan bercadang untuk bekerjasama dengan NGO di peringkat negeri untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai perlembagaan dan pemerintahan demokrasi di negara ini. -Bernama

Tun Mahathir, Umno

Artikel Lain