suria

Kiriman Wang Pekerja Asing Ke Negara Asal Naik Kepada RM34.75 Bilion Pada 2015

KUALA LUMPUR: Jumlah wang yang dihantar balik oleh pekerja asing ke negara asal mereka meningkat 23.2 peratus kepada RM34.75 bilion setakat 31 Disember 2015, kata Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Pada 2014, sejumlah RM28.21 bilion wang dikirimkan ke luar negara.

"Berdasarkan rekod, destinasi utama kiriman wang ke luar negara sejak 2011 hingga 2015 ialah Indonesia, diikuti Bangladesh, Nepal, India dan Filipina.

"Dari aspek pertumbuhan tahunan 2011 merekodkan kadar 17.1 peratus dan angka itu meningkat kepada 23.2 peratus bagi 2015," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu bagi menjawap soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang meminta Menteri Kewangan memperincikan jumlah wang yang dihantar balik oleh pekerja asing ke negara asal mereka mulai 2010. 

Beliau berkata pada 2014, sejumlah RM28.21 bilion dihantar pulang, 2013 (RM22.7 bilion), 2012 (RM18.4 bilion), dan 2011 (RM15.7 bilion).

Pada tahun lepas sejumlah RM6.2 bilion dikirimkan ke Indonesia manakala kiriman wang pekerja asing ke Bangladesh berjumlah RM4.6 bilion, Nepal (RM3.6 bilion), India (RM2 bilion) dan Filipina (RM1.1 bilion).--Bernama



Artikel Lain