suria

Dadah: Peniaga Terlepas Tali Gantung

IPOH: Seorang peniaga terlepas daripada hukuman mati mandatori apabila Mahkamah Tinggi di sini, Rabu melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar dadah tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Mohd Saipol Bahri Yaakub, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Dalam pertuduhan pertama Mohd Saipol didakwa mengedar 438.1 gram kanabis manakala pertuduhan kedua mendakwa dia mengedar 5.5 gram heroin dan 5.2 gram 'monoacetylmorphines'.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat K/P 17, Jalan Tiong, Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat di sini, pada masa dan tarikh yang sama, pukul 4 petang, 9 Feb 2015.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Komathy berkata wujud pencanggahan keterangan saksi daripada pihak pendakwaan mengenai dadah itu ditemui.

"Saksi iaitu pegawai penyiasat menyatakan bahawa bungkusan plastik berisi dadah ditemui di atas lantai dapur rumah berkenaan manakala saksi lain iaitu teman wanita tertuduh menyatakan bahawa dia melihat ada seorang individu bawa bungkusan plastik dan meletaknya di dalam rumah itu," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili Ranjit Singh Sandhu dan Mohamad Hafiz Jalaludin.

Ipoh, Dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain