suria

Kontraktor Lepas, Bebas Daripada Tuduhan Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor hari ini terlepas daripada hukuman gantung mandatori selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 934 gram, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Mohd Nizam Syed Kamil, 34, di akhir kes pendakwaan.

Ab Karim ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai kawalan dan jagaan terhadap barang kes yang ditemui kerana rumah dan bilik yang didudukinya boleh diakses oleh orang lain yang tinggal berhampiran dengan rumah tertuduh selain dua unit telefon bimbit yang ditemui dan dirampas oleh pihak polis dalam rumah berkenaan juga tidak disiasat.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Hasnal Redzua Merican kelihatan tenang sebaik mahkamah memberikan keputusan.

Syed Mohd Nizam dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 934 gram di sebuah rumah di No 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Dang Wangi, pada 5 petang, 24 Jun 2014 dan didakwa mengikut Sesyen 39B(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail telah mengemukakan sebanyak lima saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 hingga 8 Januari lepas.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain