suria

Pembeli Rumah Pertama Bernilai RM300,000 Perlukan Pengesahan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mungkin mewajibkan setiap pembeli yang ingin membeli rumah pertama berharga RM300,000 mendapatkan pengesahan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) atau Bank Negara bagi memastikan tiada ketirisan.

Menteri berkenaan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ia satu mekanisme bagi memastikan pembeli rumah tersebut tidak pernah membeli rumah sebelum ini dan pada masa sama memudahkan urusan permohonan para pembeli.

"Hanya LHDN dan Bank Negara yang mempunyai maklumat lengkap sama ada pembeli tersebut sudah mempunyai rumah atau tidak sebelum ini.

"Ia juga bagi menjimatkan masa para pegawai di LHDN dan Bank Negara untuk meluluskan permohonan pembelian rumah pertama para pemohon," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Kuala Terengganu sebagai Bandar Mesra Pejalan Kaki di kawasan perniagaan Paya Keladi di sini, Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mentek, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Datuk Dr Dolbani Mijan dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman.

Abdul Rahman diminta mengulas keputusan kerajaan yang menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja pada pembentangan ubah suai Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Beliau dalam pada itu mengucapkan penghargaan kepada kerajaan dengan memperkenalkan inisiatif tersebut kerana ia menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat untuk memiliki rumah pertama ekoran harga rumah yang semakin meningkat dan tidak terkawal di pasaran.

"Ini satu inisiatif yang berani dan baharu, boleh menidakkan ruang kepada spekulator yang hanya bina rumah semata-mata untuk keuntungan, kemudian beli dan jual semula (dengan harga yang lebih tinggi) kepada pembeli," katanya.

Rumah Pertama

Artikel Sebelum

Awas Virus Baharu 'Zika'!

Artikel Lain