suria

Komando Mengaku Tidak Bersalah Galak Keahlian Dalam Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang anggota komando mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas IS.

Muhammad Adibzakir Zahri, 29, didakwa menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas IS di Markas 21, Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Mersing, Johor pada Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seskyen 130G(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes itu.

Mahkamah juga menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula satu lagi kes yang dihadapi Muhammad Adibzakir iaitu memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS di Balai Polis Sungai Udang, Melaka, pada 8.50 pagi, 19 Ogos tahun lepas.

Muhammad Adibzakir didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam M. Visvanathan mewakili Muhammad Adibzakir memohon kedua-dua kes tersebut dibicarakan serentak berikutan melibatkan dokumen, saksi-saksi, pertuduhan dan transaksi yang sama.

Mohamad Shariff berkata perkara itu bergantung kepada pihak pendakwaan sama ada untuk membicarakan kedua-dua kes itu serentak. - BERNAMA

komando, IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain