suria

SPRM Tahan Pensyarah Wanita Kes Seleweng RM14 Juta

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pensyarah wanita yang disyaki terbabit dalam penyelewengan tuntutan peruntukan penganjuran program membabitkan nilai kira-kira RM14 juta.

Wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM negeri di Bangunan Persekutuan, di sini, kira-kira pukul 11 pagi Rabu.

Menurut sumber, suspek yang juga pensyarah kanan di sebuah universiti awam di utara dikatakan melakukan kesalahan berkenaan ketika menjadi Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).

Difahamkan, hasil risikan mendapati terdapat keraguan dalam pelaksanaan program dianjurkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) melalui CUIC dan SPRM sedang menyiasat tuntutan yang dibuat oleh lebih 10 syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengannya.

“Berdasarkan maklumat, suspek yang berasal dari Perlis membuat tuntutan RM14 juta untuk kira-kira 300 program dianjurkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) melalui CUIC, di bawah Kementerian Pelajaran (ketika itu Kementerian Pengajian Tinggi) antara 2012 dan 2015.

“Bagaimanapun timbul keraguan dalam isu terbabit dan SPRM sehingga kini masih menyiasat tuntutan membabitkan nilai peruntukan kira-kira RM14 juta dibuat melalui lebih 10 syarikat.

“Sehingga kini siasatan dilakukan SPRM hanya mengenal pasti RM500,000 daripada keseluruhan RM14 juta tuntutan dibuat, manakala selebihnya masih dalam siasatan. Justeru, suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan dilakukan, namun tidak mengulas lanjut.

Artikel Lain