suria

Tukar Agama: Guru Tadika Fail Permohonan Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Guru tadika, M. Indira Gandhi telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama tiga anaknya oleh bapa mualaf mereka.

Peguamnya, M. Kulasegaran, ketika dihubungi berkata, dokumen-dokumen permohonan tersebut difailkan menerusi sistem serahan dalam talian (e-filing) petang ini.

Beliau berkata dokumen-dokumen juga turut diserahkan kepada responden - Jabatan Peguam Negara, penasihat undang-undang negeri Perak dan juga kepada peguam yang mewakili bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan.

Kulasegaran berkata lapan persoalan undang-undang telah dirangka bagi Mahkamah Persekutuan untuk dipertimbangkan.

Pada 30 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Indira.

Keputusan majoriti memutuskan perkara berkaitan Islam, isu agama dan sama ada seseorang itu beragama Islam adalah di bawah bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkaitan isu penukaran agama.

Panel yang diketuai hakim Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua yang lain iaitu kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan serta bapa mualaf, Muhammad Riduan.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhammad Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam yang ketika itu berusia 12 dan 11 tahun serta 11 bulan.

Sekarang mereka berusia 18, 17 dan tujuh tahun.

Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh juga mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu mereka, Indira, yang memohon agar sijil penukaran agama itu adalah tidak sah dan batal.

Artikel Berikut

Artikel Lain