suria

Polis Tahan Empat Lelaki Menyamar Pegawai KPDNKK, Peras Ugut Peniaga

SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki kerana memeras ugut lebih 11 peniaga kedai runcit dengan menyamar sebagai pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, keempat-empat suspek ditahan ketika menaiki sebuah kereta di sekitar kawasan Seksyen U2 di sini pada pukul 3 petang, susulan laporan yang dibuat oleh seorang mangsa sindiket terbabit sehari sebelum itu. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai beberapa dokumen, buku kompaun termasuk empat pas kerja palsu kementerian itu serta dua 'walkie talkie' di dalam kenderaan yang dinaiki suspek. 

"Modus operandi suspek adalah menyasarkan secara rawak kedai-kedai runcit yang berniaga secara sederhana dan memperkenalkan diri sebagai pegawai KPDNKK dengan menunjukkan pas kerja palsu itu.

"Mereka juga membawa dokumen-dokumen berkaitan KPDNKK antaranya buku kompaun dan fail-fail yang sebenarnya kesemuanya palsu supaya mangsa percaya seterusnya diperas ugut kumpulan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Menurut Shafien, kesemua suspek juga berpakaian lengkap ke pejabat sebagai helah bagi mengelakkan peniaga mengesyaki kegiatan penipuan yang dilakukan mereka. 

Beliau berkata taktik suspek adalah dengan memeriksa premis untuk mencari kesalahan perniagaan dan kemudian mengugut mangsa supaya membuat pembayaran bagi mengelakkan mereka disaman atau dibawa ke mahkamah. 

"Bagaimanapun, seorang peniaga berumur 59 tahun di Seksyen U2 terdetik untuk membuat laporan polis pada Khamis lepas kerana ragu-ragu dengan tindakan kesemua suspek tersebut yang meminta beliau membayar RM10,000 sebagai penyelesaian kes. 

"Menurut mangsa, setelah berunding dengan suspek, mereka bersetuju dibayar RM3,000 tetapi mangsa hanya sempat membayar RM1,300 dan baki akan diberi keesokan harinya namun dia bertekad membuat laporan polis," katanya. 

Katanya, keempat-empat lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 55 tahun itu dipercayai telah bergiat aktif dalam sindiket penipuan tersebut sejak enam bulan lepas dan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah. 

Beliau berkata kesemua suspek juga mempunyai sekurang-kurangnya empat rekod jenayah lampau antaranya membabitkan dadah, peras ugut serta penipuan dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut serta menyamar sebagai penjawat awam. -- Bernama 


KPDNKK, Shafien Mamat, Seksyen U2

Artikel Sebelum

Perbahasan TPPA Terkawal

Artikel Berikut

Artikel Lain