suria

Imigresen Dedah Lebih 30,000 PLKS Gagal Diproses Dalam Talian

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen mendakwa terpaksa campur tangan apabila lebih 30,000 permohonan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing gagal diselesaikan menerusi sistem dalam talian tahun lalu.

Ia pendedahan jabatan itu kepada mStar Online selepas setahun sistem dalam talian itu dilaksanakan bagi memudahkan majikan membuat permohonan tanpa perlu beratur panjang di kaunter. 

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Khairul Khar Yahya berkata, berdasarkan rekod pihaknya mendapati sebanyak 31,301 permohonan tidak berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan sepanjang tahun lalu.

Menurut Khairul, walaupun jumlah itu kecil berbanding bilangan permohonan yang berjaya diproses oleh penyedia perkhidmatan berkenaan tetapi 'kegagalan' tersebut boleh menimbulkan masalah kelewatan serahan pelekat PLKS baharu kepada majikan.

"Sebanyak 31,301 permohonan itu menyebabkan kelewatan sehingga menimbulkan rungutan dan aduan di kalangan majikan.

"Urusan permohonan memperbaharui PLKS melibatkan Jabatan Imigresen dan kita perlu memastikan pelaksanaan sistem dalam talian berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Difahamkan, jumlah tersebut tidak termasuk permohonan dibuat majikan di kaunter imigresen disebabkan kes-kes tertentu yang perlu dibuat secara manual.

Khairul berkata, jumlah permohonan tidak berjaya diproses secara dalam talian sehingga perlu diselesaikan oleh Jabatan Imigresen itu melibatkan aspek teknikal dan kemaskini.

"Penambahbaikan perlu bagi memastikan perkhidmatan dalam talian itu menjadi lebih cekap pada masa akan datang.

"Sehubungan itu, Jabatan Imigresen sebagai agensi pelaksana perlu mengadakan perbincangan untuk penambahbaikan dengan penyedia perkhidmatan," katanya.

Tahun lalu, sebanyak 926,386 permohonan memperbaharui PLKS berjaya diproses secara dalam talian.

Ia meliputi enam sektor dibenarkan iaitu pembuatan (411,483), pembinaan (175,704), perkhidmatan (135,224), perladangan (86,264), pertanian (67,880) dan pembantu rumah (49,831).

Mstar Online telah menghubungi MyEG yang merupakan penyedia perkhidmatan dalam memperbaharui PLKS itu dan sedang menunggu maklum balas pihak berkenaan.

Pelbagai rentetan yang dilalui perkhidmatan dalam talian bagi memperbaharui PLKS sehingga hangat diperkatakan sepanjang tahun lalu terutama di kalangan majikan, persatuan majikan dan industri.

Bermula dari ia dikuatkuasakan pada 5 Januari 2015 sehingga Jabatan Imigresen memutuskan untuk membuka semula kaunter di jabatan itu pada akhir bulan yang sama selepas mendapat rungutan majikan bagi pelaksanaan baharu tersebut.

Pembaharuan PLKS secara dalam talian kemudiannya dilaksanakan secara menyeluruh di Semenanjung pada awal Mei tahun lalu.

Jabatan Imigresen PLKS, MyEG

Artikel Lain