suria

Mukhriz Mungkin Diberi Jawatan Baharu - Tajul Urus

Mukhriz Mahathir.

SUNGAI PETANI: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mungkin akan diberikan jawatan baharu sekiranya beliau digugurkan sebagai Menteri Besar, kata exco Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Tajul Urus yang merupakan Ahli Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai dan Ketua Umno Bahagian Merbok berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membiarkan Mukhriz terus tersisih.  

Menurut Tajul Urus, keputusan untuk menggantikan Mukhriz itu bukan bermakna sebagai satu hukuman tetapi memberinya peluang lebih baik.

"Menteri Besar baharu telah dikenal pasti.

"Beliau merupakan ahli politik berpengalaman dan pemimpin yang dihormati," katanya kepada pemberita di Semeling dekat sini, Isnin.

Tajul Urus berkata, beliau percaya akan ada perubahan dalam Menteri Besar, dalam tempoh tiga hari akan datang.

Walaupun nama beliau telah disebut-sebut sebagai kemungkinan menjadi Menteri Besar, Tajul Urus berkata, beliau tidak mahu memegang jawatan itu.

"Sama ada calon berpendidikan tinggi atau tidak, ia bukan menjadi masalah memandangkan dia (bakal MB) akan dibantu oleh anggota exco negeri yang mahir dalam bidang masing-masing," katanya.

Artikel Lain