suria

Keluar Kata Kesat, Lucah: Pengurus Projek Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus projek di sebuah syarikat didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap seorang pengurus hotel pada Ahad.

R. Parameswaran, 26, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk menghina kesopanan Harcharanjit Singh Ranjit Singh, 52, di Hotel Signature, Jalan Thambipilay, Brickfields di sini pada 7 pagi, 3 Januari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret, Noraisyah Mohd Yusof turut memerintahkan Parameswaran dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan. 

Mengikut fakta kes, mangsa menerima maklumat daripada pekerja hotel bahawa berlaku pergaduhan di sebuah bilik hotel dan apabila mangsa ke bilik itu tertuduh marah dan menghalau mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadapnya. 

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan perlu menanggung ibu dan adiknya yang masih belajar. 

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan sama. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain