suria

Bayi Empat Bulan Mati Di Pusat Asuhan

GEORGE TOWN: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Gelugor, di sini Isnin.

Nur Ariana Safiyyah Mohammad Shauqi dihantar ibunya, Nur Farhana Ros Nazri, 26, ke pusat asuhan itu pada pukul 7 pagi dan dimaklumkan bayi berkenaan menghadapi masalah kesihatan kira-kira sejam setengah selepas itu.

Bapa bayi itu, Mohammad Shauqi Zainondin, 26, berkata anak sulungnya itu dibawa ke klinik berhampiran oleh pusat asuhan berkenaan.

"Isteri saya menghantar anak kami sebelum ke tempat kerja di Nibong Tebal dan kira-kira pukul 8.30 pagi isteri menghubungi saya memaklumkan pusat asuhan itu memberitahu anak kami lembik dan sesak nafas ketika pengasuh mahu menukar bajunya," katanya yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Pulau Pinang di sini.

Mohammad Shauqi yang bekerja sebagai juruelektrik di Rapid Penang, berkata pada Isnin adalah hari ketiga bayi mereka dihantar ke pusat asuhan itu selepas isterinya yang merupakan penjawat awam mula bekerja minggu lepas.

"Sebaik mendapat panggilan, saya bergegas ke klinik...luluh hati saya apabila doktor beritahu anak kami sudah meninggal dunia...lebih menyedihkan apabila melihat darah kering di hidung anak serta terdapat tompokan darah di baju selain ada kesan lebam di pipi.

"Memang saya reda dengan pemergian bayi kami namun sebagai bapa saya juga mahukan keadilan sewajarnya," katanya yang menyerahkan siasatan kes itu kepada polis.

Beliau berkata, laporan awal bedah siasat memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana radang paru-paru dan laporan penuh akan keluar dalam tempoh tiga minggu lagi.

Jenazah Nur Ariana Safiyyah dituntut ibu bapanya selepas selesai bedah siasat di HPP dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, Kedah malam Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dalam kes itu. 

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan mengesahkan sebab kematian adalah kerana penyakit radang paru-paru," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain