suria

Pembelian Saham Bandar Malaysia Beri Manfaat Untuk Rakyat Johor - Khaled Nordin

JOHOR BARU: Keputusan kerajaan negeri Johor membeli saham Bandar Malaysia Sdn Bhd daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) baru-baru ini, bukanlah merugikan kerana pulangannya dapat dimanfaatkan bagi kesejahteraan rakyat.

Malah, jelas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, keputusan menyertai tender sebagai pembida dan kemudian memenanginya merupakan peluang kepada negeri itu.

"Apa salahnya kerajaan negeri melalui Kumpulan Prasana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dalam Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), terlibat dalam pembangunan di Kuala Lumpur?

"Sekurang-kurangnya hasil keuntungannya boleh dibawa balik untuk dimanfaatkan oleh KPRJ bagi perkara-perkara yang membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang, di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Program Gerak Mesra Perdana 2015 dan perasmian Dewan Taman Scientex, Pasir Gudang, dekat sini.

Mohamed Khaled mengulas keputusan pembelian saham Bandar Malaysia melalui konsortium IWH-China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC), baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata kerajaan negeri bersyukur atas kejayaan memperolehi tender itu dan IWH adalah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan beberapa kawasan dalam Wilayah Iskandar Malaysia.

Pada 31 Disember lepas, 1MDB mengumumkan sudah menandatangani perjanjian jual beli saham melibatkan penjualan 60 peratus pegangan Bandar Malaysia pada harga RM7.41 bilion kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd membabitkan usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC.

IWH yang merupakan pemaju utama bahagian "Flagship" A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar, adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resources Sdn Bhd (60 peratus) dan KPRJ (40 peratus) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.

CREC adalah firma kejuruteraan dan pembinaan yang merupakan syarikat pegangan milik China.

Bandar Malaysia yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion, bakal muncul mercu tanda antarabangsa baharu Malaysia apabila siap kelak.

Perjanjian 1MDB dengan konsortium itu juga antara usaha merealisasikan pelan rasionalisasi 1MDB yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015. - BERNAMA


Artikel Lain