suria

Orientasi Murid Tahun Satu Sesi 2016 Hampir Selesai

KUALA LUMPUR: Menjelang bermulanya sesi persekolahan 2016 Isnin ini, pelajar tahun satu di kebanyakan sekolah di seluruh negara mengadakan sesi orientasi untuk pelajar baharu.

Waktu orientasi di sesebuah sekolah dilihat berbeza-beza dengan ada yang melaksanakannya seawal sebelum cuti akhir tahun persekolahan 2015, dan ada juga yang mengadakannya seminggu sebelum sesi persekolahan 2016 bermula.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng berkata tiada tarikh spesifik ditetapkan bagi setiap sekolah mengadakan sesi tersebut.

"Bagaimanapun, semua sekolah perlu mengadakan sesi orientasi itu  selewat-lewatnya esok (Sabtu) sebelum murid memulakan sesi persekolahan baharu Isnin ini," katanya.

Program orientasi itu diadakan bagi mendedahkan murid-murid dengan suasana persekolahan yang bakal dilalui.

Aktiviti yang dijalankan ialah suai kenal murid dengan rakan-rakan dan guru-guru, ujian Bahasa Melayu dan Matematik dan pendedahan awal murid ke kantin pada waktu rehat.

Semasa murid mengikuti aktiviti tersebut, ibu bapa dan penjaga diberi taklimat berkaitan urusan persekolahan yang disampaikan oleh Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata ibu bapa dan penjaga digalak mengambil cuti untuk mengiringi anak-anak mereka terutama pada hari pertama persekolahan untuk memberi semangat.

Katanya, sokongan moral dan spiritual ibu bapa amat penting untuk memberikan keyakinan kepada anak-anak mereka melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.

"Ia juga sebagai tanda galakan dan motivasi mereka (murid) ke sekolah. Untuk murid-murid tahun satu, eloklah jika ibu bapa dapat menyediakan peralatan seperti beg sekolah yang baharu untuk memberi mereka semangat ke sekolah," katanya. - BERNAMA

orientasi, Tahun 1, 2016

Artikel Lain