suria

Pengendali Judi Dalam Talian Tidak Serik, Ditahan Buat Kali Kedua

KOTA TINGGI: Pengendali judi dalam talian di sebuah premis di Taman Kota Jaya, di sini seolah-olah memperlekehkan undang-undang apabila masih lagi beroperasi walaupun dua kali diserbu pada 14 dan 17 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata serbuan atas premis yang sama pada 14 Disember lepas mendapati terdapat 13 komputer riba sedang memaparkan permainan berunsur perjudian dalam talian.

"Berikutan itu, polis telah menahan dua lelaki penjaga premis, berusia 21 dan 47 tahun serta merampas beberapa peralatan berkaitan," kata beliau kepada pemberita di sini Sabtu.

Antara barangan yang dirampas ialah satu set komputer utama, 12 set komputer riba jenama ACER dan wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM95.00, katanya.

Rahmat berkata kedua-dua lelaki itu telah ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan ikatan jamin pada esoknya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Menurut Rahmat, premis berkenaan sekali lagi diserbu pada 17 Disember lepas dan mendapati mereka masih menjalankan perjudian dalam talian.

Kali ini, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 20 dan 47 tahun termasuk dua penjaga yang sama yang pernah ditahan pada 14 Disember lepas.

Beberapa barangan dirampas termasuk satu set komputer utama termasuk unit pemprosesan utama (CPU), 25 set komputer riba pelbagai jenama, satu unit modem wifi TM, dan wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM323.00.

"Kesemua lelaki itu telah ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin pada esoknya dengan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953", katanya.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah melakukan sebanyak 36 serbuan di bawah Operasi Dadu sepanjang tempuh awal tahun ini sehingga 21 Disember 2015 lepas, melibatkan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi mesin slot dan judi dalam talian.

Rahmat berkata sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan seramai 49 orang telah ditahan sehingga kini.

Katanya, antara peralatan yang dirampas dan diarah musnah oleh mahkamah ialah 28 set mesin komputer berunsur perjudian manakala bakinya iaitu 85 buah komputer riba dan 30 buah tab atau telefon bimbit yang masih diperlukan dalam perbicaraan. - BERNAMA

judi, jenayah

Artikel Lain