suria

Berhati-Hati Sebarkan Sebarang Berita - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat negara ini lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita, terutamanya yang diterima melalui media sosial dan aplikasi mesej.

Beliau berkata berita tidak sahih yang disebarkan akan mewujudkan suasana tidak tenteram atau "a climate of fear" dalam kalangan rakyat dan merosakkan reputasi negara di mata dunia.

Katanya implikasinya amat besar, terutamanya kepada ekonomi negara.

"Baru-baru ini saya lihat ramai menyebarkan berita mengenai kejadian letupan bom di Petaling Jaya, yang kini kita semua tahu bukanlah apa yang sebenarnya berlaku.

"Perkara seperti ini boleh dijadikan iktibar kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita, terutamanya yang diterima melalui media sosial dan aplikasi mesej," katanya dalam catatan menerusi blog beliau, NajibRazak.com.

Najib berkata adalah tanggungjawab semua untuk memastikan sebarang berita yang diterima adalah sahih dan tepat.

Beliau berkata dari segi hubungan sesama rakyat Malaysia, berita tidak sahih yang disebarkan akan membawa kepada fitnah, yang membawa kepada perpecahan serta mengganggu-gugat keharmonian yang telah dibina bertahun lamanya.

"Hari ini, dengan adanya teknologi di tangan, amat mudah untuk sesiapa sahaja sebarkan maklumat, tetapi malangnya ramai yang tidak ambil peduli mengenai kesahihan maklumat atau berita yang diterima dan terus menyebarkannya.

"Marilah kita lebih bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi yang ada, dan insya-Allah Malaysia akan kekal harmoni dan dalam peliharaan Allah SWT," katanya.

Dalam kejadian 21 Disember lepas, enam buah kereta terbakar dan ia adalah akibat perbuatan seorang lelaki yang bertindak membaling botol berisi petrol yang dinyalakan api ke arah tempat duduk belakang sebuah daripada kenderaan itu.

Kejadian itu bukanlah disebabkan letupan bom seperti mana tersebar dan menjadi viral di media sosial.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain