suria

Rakit: Dua Beradik Lemas, Nenek Dan Bapa Saudara Hilang

JOHOR BAHARU: Dua beradik lemas manakala nenek dan bapa saudara mereka masih hilang selepas rakit yang dinaiki tenggelam akibat terlebih muatan dalam kejadian di Sungai Bekok, Yong Peng, dekat Batu Pahat, Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Mender Singh berkata kejadian di sungai bersebelahan Masjid Yong Peng pada 3 petang itu turut melibatkan enam yang lain, namun, mereka berjaya diselamatkan.

"Dua beradik yang lemas adalah Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan adiknya, Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan. Kedua-duanya merupakan anak seorang anggota polis.

"Nenek mereka pula adalah Lana Ismail, 50-an manakala bapa saudara pula adalah, Mohd Aiman Hairaddin, 10 tahun," katanya yang dihubungi di sini, Sabtu.

Mender berkata kesemua enam mangsa yang terselamat pula adalah Hairaddin Masran, 58, Nor Diana Alisa Hairaddin, 31, Ali Abdul Raman Hairaddin, 28, Junaidah Yang, 28, Siti Farahida Hairaddin, 26, serta Muhamad Ali An-naqi Abdul Raman, 2.

Beliau berkata kesemua 10 mangsa dalam kejadian itu mempunyai hubungan keluarga dan siasatan awal mendapati kesemua mereka menaiki rakit itu untuk melihat ternakan kambing di seberang sungai yang jaraknya lebih kurang 50 meter.

Katanya apabila sampai di pertengahan sungai, rakit itu ditolak arus dan tenggelam kerana muatan terlalu ramai kerana kebiasaan rakit hanya boleh memuatkan tiga orang dewasa.

Menurut Mender, kesemua mereka yang berasal dari Kangkar Bharu, Yong Peng sebelum itu menghadiri satu majlis perkahwinan di Yong Peng dan kemudian berhasrat untuk melihat ternakan kambing selepas majlis berkenaan.

"Mayat kedua beradik berkenaan kini dihantar ke Hospital Sultanah NoraIsmail, Batu Pahat untuk bedah siasat dan usaha mengesan dua lagi yang hilang sedang dilakukan oleh pihak bomba," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Ibnul Kasim Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.54 petang.

Beliau berkata tiga anggota bersama sebuah jentera dan bot tiba di lokasi kejadian pada 3.16 petang dan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang hilang kini sedang dilakukan.- Bernama

Rakit tenggelam, Yong Peng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain