suria

Mangsa Bot Nelayan Dilanggar Feri Ditemui

ALOR SETAR: Mayat nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya dilanggar feri membawa muatan kenderaan di perairan Kuala Kedah semalam, dijumpai pagi Rabu.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata mayat Abdullah Mat Ali, 53, dari Taman Sri Gemilang, Mergong di sini ditemui pada pukul 10.18 pagi tadi oleh nelayan.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 1.5 batu nautika dari tempat dia dilaporkan jatuh. Mayat telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Jamalludin berkata operasi yang tamat 11 pagi tadi disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan nelayan.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah malam semalam, mangsa yang sedang mencandat sotong bersama rakannya terjatuh dari bot mereka selepas dilanggar feri kargo yang membawa muatan kenderaan ke Pulau Langkawi.

Rakan mangsa, Amri Haron, 31, sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tali di tepi feri kargo terbabit.

Kuala Kedah

Artikel Lain