suria

Segera Buat Aduan Jika Ahli Keluarga Terlibat Dengan Pengganas Daesh

Rohani Abd Karim.

KUALA LUMPUR: Mana-mana wanita yang mengesyaki suami atau anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan militan seperti kumpulan pengganas Daesh diminta supaya segera membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abd Karim berkata, tindakan itu adalah bagi menyelamatkan anggota keluarga mereka daripada terlibat dengan kegiatan keganasan itu selain mengelakkan mereka sendiri daripada dikena tindakan kerana bersubahat.

"Sila tampil ke depan berjumpa pihak berkuasa. Mungkin kita dapat menyelamat mereka. Itu nasihat saya sebagai tanda kasih sayang kita terhadap suami, anak-anak dan sebagainya.. mungkin itu cara terbaik untuk tampil ke depan dan mendapatkan bantuan.

"Orang ramai boleh membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya tindakan lanjut segera dilaksanakan agar isteri atau ibu terlepas daripada tuduhan bersubahat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Prospernita Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai seorang ketua kerani perangkaan Poziah Harun, 42, yang dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi, Selasa lepas, selepas mengaku bersalah melindungi suaminya untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dalam peperangan pengganas di Syria.

Dalam prosiding itu, Hakim Kamardin Hashim berkata, kesalahan tertuduh masih dikategorikan sebagai kesalahan serius walaupun tertuduh hanya berniat untuk melindungi dengan menemani suaminya bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Rohani turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Poziah dan bagi beliau, sememangnya sifat semula jadi seorang isteri akan melindungi suami walaupun ia boleh memudaratkan diri.

Justeru, Rohani turut menasihati mana-mana suami atau ahli keluarga yang terdorong untuk melibatkan diri dalam kegiatan keganasan supaya berfikir panjang kerana ia boleh membabitkan seluruh ahli keluarga jika ditangkap.

Ketika ditanya kisah seorang wanita dikenali sebagai Dina yang dikatakan membawa dua orang anaknya menaiki motosikal dari Pulau Pinang ke Kajang, Selangor dan menjadi viral di laman sosial, Rohani berkata, pihaknya ada mengikuti kisah wanita itu dan akan mengesannya bagi sesi kaunseling dalam masa terdekat.

Sementara itu, Rohani berkata kementeriannya dalam proses mewujudkan satu direktori atau pangkalan data secara berpusat dikenali sebagai Maklumat Nasional Isu-isu Sosial (MaNIS) bagi mengumpul maklumat lapan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, wanita, keluarga, mangsa bencana, orang papa serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) secara berpusat. 

Direktori itu berperanan mengumpul, mengawal, menganalisis dan membuat laporan mengenai data yang diperoleh dan akan disiarkan menerusi dalam talian untuk dijadikan sebagai pusat rujukan nasional.

"Kita baru sahaja mewujudkannya pada Jun lepas dan sekarang kami masih mengumpul maklumat daripada pelbagai agensi, kementerian yang berkaitan dan semua maklumat ini akan disiarkan secara online apabila semua kaedah dapat dikumpulkan," katanya. - Bernama

Artikel Lain