suria

Mahkamah Tolak Permohonan Azmi Sharom Bicara Kes Hasutan Di Mahkamah Tinggi

Dr Azmi Sharom.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Rabu menolak permohonan pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan supaya perbicaraan kesnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Amernudin Ahmad memutuskan Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perbicaraan kes itu.

"Mahkamah putuskan perbicaraan penuh diteruskan di Mahkamah Sesyen dan sesungguhnya tertuduh tidak diprejudiskan," katanya.

Amernudin bagaimanapun tidak menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes itu selepas peguam Gobind Singh Deo memohon untuk membuat hujahan lanjut berhubung Seksyen 3(3) Akta Hasutan.

Beliau menetapkan pada Rabu untuk mendengar hujahan itu.

Azmi, 46, dituduh menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.

Dia berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lepas.

Azmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain