suria

Kumpulan Media Star Rai Wira Kemanusiaan Tak Didendang

Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Fu Ah Kiow dan Tan Sri Lee Lam Thye bersama para penerima Anugerah 'Star Golden Hearts' pada majlis penyerahan anugerah dan sijil penghargaan di Menara Star, Petaling Jaya pada Rabu. Foto SAM THAM / The Star Online

PETALING JAYA: Kemurahan hati rakyat Malaysia dalam membantu insan berlainan bangsa yang kurang bernasib baik dan memerlukan diberi penghargaan menerusi Anugerah ‘Star Golden Hearts’ pada Rabu.

Anugerah kemanusiaan yang memberi pengiktirafan kepada wira tak didendang yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Kumpulan Media Star dan Star Foundation.

Penerima-penerima anugerah ini terdiri daripada individu dan berkumpulan pelbagai kaum dan latar berlakang yang berkongsi keprihatinan mereka.

Pengerusi Kumpulan Media Star dan Star Foundation, Datuk Fu Ah Kiow berkata, Anugerah ‘Star Golden Hearts’ merupakan pengiktirafan kepada insan biasa dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

"Mereka ini secara ikhlas memberi bantuan tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit tanpa sebarang agenda atau mengharapkan balasan.

"Sifat kemanusiaan rakyat Malaysia ini memperlihatkan negara lebih indah. Pengiktirafan yang dilakukan The Star ini memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mempromosikan kesederhanaan dan mewujudkan perpaduan dalam negara," katanya pada majlis penyerahan anugerah di Menara Star di sini, Rabu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Antara penerima anugerah ialah Shirin Aziha Shahidan yang melakukan aktiviti sukarelawan membantu seorang warga emas yang mengalami masalah kesihatan, Richard Soibi yang mewakili Persatuan Malim Gunung Kinabalu (Pemangkina) di atas pergorbanan malim gunung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat semasa kejadian gempa di Gunung Kinabalu pada Jun lalu, manakala Mastura M. Rashid menerusi Projek Nasi lemak, beliau memberi bantuan kepada kanak-kanak pelarian dan golongan gelandangan. 

R. Rajagopal pula prihatin mengambil berat terhadap rakannya, Low Saw Piow yang kurang bernasib baik sehingga rakannya itu menghembuskan nafas terakhir, Abdul Muhsi Ramlan mengambil tindakan pantas menyelamatkan nyawa seorang individu tidak dikenali yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan Dr. S Madhusudhan menyediakan khidmat sukarelawan dari segi perubatan kepada golongan gelandangan menerusi serta Siti Zabedah Kassim, seroang peguam yang bersama-sama membantu ahli keluarga Orang Asli kepada tujuh kanak-kanak yang hilang di Gua Musang baru-baru ini.

Anugerah ‘Star Golden Hearts’ turut menghargai keikhlasan sekumpulan remaja perempuan - Shirley Lee, Farhana Mohd Fadzli, Wee Tai May dan Wong Hui Yu yang membantu seorang wanita dalam kecemasan untuk melahirkan anak, sekumpulan tujuh anak muda terdiri daripada Ahamad Emran, Fadly Daud, Hafiz Kamal, Hayati Ismail, Sarah Lee, Syarifah Athirah dan Syed Azmi yang menyediakan khidmat ‘FreeMarket’ menawarkan pelbagai barangan dan keperluan secara percuma untuk mereka yang memerlukan serta Alina Amir, David Chak, Felicia Yoon dan Daniel Russel dari Arus Academy yang menawarkan bantuan pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sementara itu, Pengerusi Ecoworld Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga mempengerusikan jawatankuasa panel juri bagi anugerah berkenaan berkata, tindakan mereka yang bermurah hati ini menjadi penghubungan kepada dua komuniti, menggalakkan keharmonian dan perpaduan kaum.

"Dedikasi dan kerja keras mereka dilaburkan dalam membantu, prihatin dan menyelamatkan orang lain. 

"Walaupun berhadapan dengan kesukaran dan cabaran, mereka mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, bersikap berani dan berperikemanusiaan," katanya.

Semua penerima anugerah menerima trofi, sijil penghargaan berserta wang tunai.

Artikel Lain