suria

Lagi Kampung Melayu Di P. Pinang Bakal Lenyap?

GEORGE TOWN: Sebuah lagi perkampungan Melayu di Pulau Pinang iaitu Kampung Selut, Sungai Pinang di sini bakal lenyap selepas penduduk di situ dimaklumkan kawasan berkenaan akan dibangunkan semula oleh pemaju.

Kampung berkenaan yang terletak berhampiran bandaraya George Town di sini wujud sejak 1960-an dan menempatkan kira-kira 5,000 penduduk.

Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Pinang, Ibrahim Din berkata terdapat 102 buah rumah teres dan 102 rumah jenis sebuah di kawasan berkenaan yang dibina atas milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dipercayai terlibat dalam projek pembangunan semula di situ.

"Tanah itu adalah milik seorang individu dan kerajaan Pusat yang diterajui perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein ketika itu memberikan sejumlah wang untuk membina rumah di kawasan berkenaan bagi membantu orang Melayu yang tidak mempunyai rumah.

"Pemilik tanah itu bersetuju menjadikan kawasan berkenaan sebagai tanah rizab orang Melayu dan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang (MPPP) ketika itu dilantik sebagai pemegang tanah terbabit," dakwanya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ibrahim yang juga tinggal di Kampung Selut berkata penduduk di situ telah beberapa kali berhubung dengan MBPP untuk membeli rumah-rumah berkenaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, bagaimanapun tidak berjaya ekoran pihak berkenaan enggan menjualnya.

"Selepas beberapa perbincangan hanya pemilik rumah sebuah-sebuah dapat membeli rumah manakala mereka yang tinggal di rumah teres masih menyewa dan kami membayar RM70 sebulan," katanya.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, penduduk rumah teres di situ mula bimbang kerana mereka dimaklumkan MBPP menerusi pemaju akan membangunkan semula kawasan berkenaan dengan pembinaan rumah pelbagai jenis termasuk di kawasan penempatan rumah sebuah-sebuah di situ.

"Pada Jun lepas MBPP telah menghantar surat kaji selidik kepada penduduk bagi cadangan untuk membangunkan semula kawasan berkenaan dan semua penduduk menerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Pinang membuat surat membantah cadangan terbabit.

"Kami memang membantah sekeras-kerasnya kerana kampung itu adalah tempat kami malah kami juga tidak dimaklumkan mengenai nasib penduduk di sini jika pembangunan semula dibangunkan. Kami berharap ada pihak yang dapat tampil membantu penduduk di sini," katanya.

Ibrahim berkata penduduk di situ ada menghantar surat untuk berjumpa dengan wakil kerajaan negeri Pulau Pinang untuk berbincang mengenai masalah itu, namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelutong Abdul Razak Abdul Rahaman berkata keluarganya yang menetap di rumah teres di Kampung Selut turut membantah pembangunan semula di situ malah bimbang jika dihalau dari kawasan berkenaan.

"Pada 2004, MPPP ketika itu telah meluluskan pembelian rumah-rumah teres berkenaan bagaimanapun ketika urusan jual beli itu dilakukan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) telah kalah pada pilihan raya umum pada tahun 2008.

"Selepas itu proses untuk tuntutan jual beli berkenaan terhenti di situ dan penduduk cuba untuk berjumpa dengan MBPP bagi berbincang bagaimanapun tiada jalan penyelesaian," katanya.

Katanya beliau telah berbincang dengan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Seorang penduduk, Siti Fatimah Mohd Midin, 54, berkata dia akan pertahankan haknya sebagai penduduk kampung berkenaan dan menuntut supaya MBPP mempertimbangkan menjual rumah-rumah itu kepada penduduk.

"Saya tinggal di sini sejak rumah itu dibina dan anak-anak saya turut tinggal bersama saya. Jika pembangunan semula dilakukan adakah ia akan memberi kebaikan kepada kami di sini. Saya bimbang kami dihalau tanpa pembelaan atau sebarang pampasan yang sewajarnya, jadi saya harap pihak berkenaan mempertimbang rayuan penduduk di sini," katanya.

Pulau Pinang, Kampung Melayu

Artikel Lain