suria

Keputusan PT3 2015 Lebih Baik

Calon PT3 SMK Hosba,Changlun Kedah, Muhammad Alwafi Mahmud Sabri (kanan) memperoleh 9A dan Abdul Qayyum Abd Rashid (kiri) bersama rakan mereka yang mengalami masalah penglihatan D. Moagan,(tengah) yang mendapat 2A untuk Sejarah dan Geografi, B untuk Bahasa Melayu (Lisan), 2D bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Ujian Bertulis) dengan keputusan masing-masing. Gambar oleh G.C.TAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 465,674 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mendapat keputusan di seluruh negara.

Kebanyakan sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding keputusan tahun pertama pelaksanaannya pada 2014.

Di BESUT, seramai 46 daripada 62 calon PT3 Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya memperoleh 11A dan sekali gus menobatkan sekolah itu antara sekolah terbaik di negeri Terengganu pada tahun ini.

Pengetuanya, Abd Wahab Mohd Arshad berkata amalan menghafaz al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah itu telah berjaya membentuk akhlak pelajar hingga cemerlang dalam PT3.

"Inilah yang sedang dibentuk oleh Imtiaz kerana 20 calon PT3 berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dengan menghafaz al-Quran boleh memberi kelebihan kepada pelajar tentang kesedaran kendiri hingga membawa kepada kejayaan," katanya.

Pelajar terbaik Imtiaz Besut, Muhamad Syakir Solihin Mohd Salim berkata resepi kejayaannya memperoleh 11A, banyak dibantu oleh amalannya menghafaz al-Quran 30 juzuk di samping menjaga pemakanan dan bijak menguruskan jadual.

"Saya menetapkan jadual untuk sesi belajar di samping bantuan guru. Selain itu pemakanan memang saya jaga. Saya percaya makan kismis mampu menguatkan daya ingatan saya," kata anak kepada pasangan guru itu kepada Bernama selepas majlis penyerahan sijil di sekolahnya, Isnin.

Bagi Fahda Syazween Fazul Anuar dari Sungai Petani, Kedah yang turut mendapat 11A, mengakui amalan menghafaz al-Quran banyak membantunya memperkuat ingatan dalam pembelajaran sekolah.

"Setiap hari rutin hidup saya mesti dimulakan dengan memakan kismis dan minum susu sebelum membaca al-Quran. Selepas itu barulah saya teruskan dengan mentelaah mata pelajaran sekolah secara berkumpulan," katanya.

Kejayaan sama turut diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abbas selepas 33 calon PT3 memperoleh 11A. 

Pengetuanya Awi Salleh berkata pencapaian terbaik itu merupakan peningkatan lebih 200 peratus berbanding keputusan PT3 pada tahun lepas iaitu hanya 12 pelajar mendapat 11A.

"Daripada 271 calon PT3 di sekolah ini, 33 calon mendapat 11A, 29 pelajar memperoleh 10A dan 79 pelajar mendapat 9A," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada para pelajar di sekolah itu, Isnin.

Bagi Mohd Ehsan Ahmad Rosli yang mendapat 11A, kejayaan yang dilakarnya itu adalah berkat sentiasa fokus kepada pembelajaran bagi semua mata pelajaran yang diajar di dalam kelas selain dorongan kedua ibu bapanya.

"Saya sangat gembira, bersyukur kepada Allah dan bagi saya yang paling penting untuk mendapatkan kejayaan ini, reda daripada kedua ibu bapa dan guru-guru. Moga kejayaan yang kami dapat ini adalah kejayaan yang diredai Allah," katanya.

Sementara itu Muhd Akif Naqiuddin Zahar yang turut berkongsi kegembiraan mendapat 11A berkata beliau bersyukur kerana mendapat keputusan cemerlang kerana baginya PT3 adalah sukar dan amat mencabar.

"Saya rasa gembira kerana semua orang tahu ujian ini tidak mudah. Namun saya bangga dengan pencapaian yang saya peroleh dan berbangga juga dengan teman-teman lain. Ini boleh saya jadikan dorongan untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM pula," katanya.

Di KOTA BARU, mengamalkan solat sunat tahajjud setiap malam dan tadarus al-Quran di sekolah antara rahsia pasangan kembar perempuan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil-Banat yang melakar kejayaan cemerlang dalam PT3.

Nurin Atirah Amani Khusaini Che Khalid Khusaimi mendapat keputusan 11A manakala pasangan kembarnya Nurin Afiqah Amani Khusaini, mendapat 10A 1B. 

Nurin Atirah Amani Khusaini ketika ditemui berkata mereka sanggup berkorban masa untuk bangun seawal 4.30 pagi bagi menunaikan solat sunat itu sehingga Subuh menjelang dan akan bersiap-siap untuk ke sekolah pula selepas itu.

"Kami menitikberatkan solat sunat tahajjud pada setiap malam sejak Jun lepas serta turut menyertai sesi tadarus al-Quran anjuran sekolah setiap pagi sebelum sesi pembelajaran dimulakan, ulang kaji pelajaran dan tuisyen pada hujung minggu," katanya ketika ditemui di sekolah, Isnin.

Pengetua sekolah, Maimunah Ismail berkata 198 calon menduduki PT3 pada tahun ini dan daripada jumlah itu 98 pelajar mendapat 11A berbanding 14 pelajar pada tahun lepas, membuktikan keberkesanan program intervensi anjuran sekolah itu.

Di KANGAR, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Nur Aina Nor Asmadi yang berjaya memperoleh 10A dalam PT3 membuktikan seseorang pelajar itu masih boleh meraih kejayaan walaupun tidak mengikuti kelas tuisyen. 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata usaha gigih berterusan dan tumpuan dalam kelas menjadi resepi kejayaannya.

"Saya berusaha lebih dan tidak mengharapkan sepenuhnya apa yang cikgu ajar.

Saya banyak ikut cara konvensional seperti menelaah buku, menganalisis soalan lepas dan baca surat khabar," kata anak anggota polis itu kepada pemberita di SMK Derma, Isnin.

Sementara itu Pengetua SMK Derma, Aslina Yob berkata sekolahnya mencatatkan peningkatan GPS 1.50 berbanding tahun lepas 1.80 iaitu daripada 156 calon PT3, 15 daripada mereka memperoleh A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 19 orang mendapat 9A.

Jabatan Pendidikan Negeri berkata Perlis mencatatkan GPS 3.29 meningkat 0.47 berbanding tahun lepas 3.76 daripada keseluruhan 4,031 calon PT3.

Di JOHOR BARU, 12 pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) mencatat keputusan cemerlang dalam PT3 apabila memperoleh A bagi semua subjek.

Pengetua MSAB Samsudin Mohd Ariff berkata sekolah itu mempunyai 165 calon PT3 dan berdasarkan keputusan itu, GPS menunjukkan peningkatan 1.82 mata pada tahun ini berbanding 2.26 mata pada tahun lepas.

Bagi pelajar cemerlang, Muhamad Naquib Helmy, yang memperoleh 10A,  menyifatkan usaha gigihnya mengulang kaji pelajaran amat berbaloi.

"Saya mengikuti kelas tuisyen dan memperbaiki subjek lemah seperti Sains dan Matematik dengan belajar bersama beberapa rakan di perpustakaan sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi doktor. 

S. Pavinishh, yang mendapat 9A bagi semua subjek yang didudukinya berkata beliau meluangkan masa selama enam jam setiap hari terutamanya membuat latihan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains.

"Kalau setiap hari kita belajar benda yang sama, maka, ia tidak akan menjadi susah. Contohnya, ramai yang fikir Matematik itu susah kerana perlu mengingati banyak formula tetapi kalau kita ingat semua formula itu, Matematik akan jadi senang," kata anak sulung daripada dua beradik itu kepada pemberita di  sekolahnya hari ini.

Di IPOH, amalan sujud syukur setiap hari selama sebulan sebelum peperiksaan PT3 antara rahsia kejayaan Nur Afifah Husna Hamzah memperoleh keputusan cemerlang 11A.

Anak pasangan pendidik itu merupakan pelajar tunggal Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini yang mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Saya sentiasa fokus dalam kelas, waktu rehat saya akan belajar dengan kawan-kawan, waktu malam pula saya akan berjaga untuk membaca selain mengamalkan sujud syukur," kata anak sulung daripada enam beradik itu kepada pemberita di sekolahnya hari ini.

Sementara itu, Pengetua sekolah Nooraini Zainal Abdin berkata sekolah itu mencatatkan lebih 50 peratus peningkatan berbanding tahun lepas yang mempunyai 135 calon iaitu dua pelajar dapat 10A, 10 pelajar 9A, 14 pelajar 8A dan 30 pelajar 7A.

"Majoriti yang mendapat 5A, 6A, 7A ke atas lebih daripada 80 orang, ini merupakan lebih 70 peratus. Kalau lebih daripada 70 peratus, ini bermakna pelajar telah menunjukkan kemampuan mereka menguasai ilmu-ilmu dalam PT3," katanya.--Bernama

Artikel Lain