suria

"Minta Maaf? Come On Lah…” Kata Shafie

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa tiada perbalahan yang timbul antara beliau dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru Naib Presiden Umno itu berkata, tiada keperluan baginya untuk berdamai atau mengemukakan permohonan maaf kepada Najib.

“Tak ada apa yang perlu didamaikan. Datuk Seri Najib (Tun Razak) adalah kawan saya. Beliau seperti abang saya, tapi apa masalahnya di sini?

“Saya hanya sentuh mengenai isu yang dibangkitkan rakyat, isu penting,” katanya kepada pemberita di PWTC di sini, Sabtu.

Selain itu, Shafie turut mempertahankan tindakannya untuk terus menuntut penjelasan Najib berhubung pelbagai isu demi kepentingan rakyat.

“Tak ada gaduh, apa yang penting ialah untuk selesaikan masalah. Selesaikan masalah 1MDB, bread and butter, kehidupan rakyat, berikan keyakinan mengenai TTPA...inilah isunya.

“Ia tak dibangkitkan oleh kami tapi rakyat. Ada yang minta supaya minta maaf. Come on lahh, adakah ia satu keperluan untuk saya minta maaf? Salah apa yang saya lakukan dengan hanya berikan pandangan?” soalnya.

Menerusi ucapan perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 yang bermula sejak Khamis lalu, rata-rata perwakilan mahu krisis kepimpinan yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan diselesaikan segera.

Krisis berkenaan timbul susulan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Shafie mempersoalkan mengenai dakwaan penyelewengan dalam 1MDB dan dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Artikel Lain