suria

Tak Ada Keperluan Untuk Saya Minta Maaf - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat permohonan maaf kepada presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin berkata, tidak ada sebab untuk beliau berbuat demikian walaupun ada perwakilan dan pemimpin dalam Umno yang berpandangan dirinya perlu berbuat demikian.

"Sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (naib presiden) yang menyatakan bahawa saya dan Datuk Seri Shafie Apdal harus memohon maaf kepada presiden parti, saya hendak jelaskan saya tidak melihat ada sebab yang munasabah yang memerlukan saya memohon maaf.

"Tidak ada sebab yang berpatutan memerlukan saya memohon maaf kepada sesiapa dan saya harap ia tak disalahtafsirkan," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian tidak sampai tiga jam sebelum penggulungan perbahasan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang akan dibuat oleh Najib petang Sabtu.

Terdahulu Shafie telah membuat kenyataan senada bahawa tiada perbalahan yang timbul antara beliau dan Najib justeru tiada keperluan baginya untuk berdamai atau mengemukakan permohonan maaf.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata beliau berpandangan apa yang telah dinyatakan selama ini adalah tidak salah dan tidak bertentangan dengan parti.

"Apa yang saya nyatakan selama ini soal parti khasnya soal kepimpinan adalah soal prinsip. Ini saya dah jelaskan berkali-kali.

"Saya tak fikir kenyataan saya menyalahi dan tidak selari dengan tujuan dan semangat perjuangan kita iaitu nak menegakkan yang hak dan benar sebab saya amat cintakan Umno," katanya.

Mengenai penggulungan perbahasan PAU 2015, Muhyiddin berkata beliau akan menghadirinya sehinggalah majlis itu selesai.

"Jangan buat apa-apa andaian dan saya akan hadir hingga penghujung persidangan ini," katanya.

Pada Jumaat, Hishammuddin berkata pintu kemaafan sentiasa terbuka kepada Muhyiddin Yassin dan Shafie jika mereka meletakkan perpaduan dan masa depan parti sebagai keutamaan.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara berkenaan perlu berlaku secara ikhlas tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.

PAU 2015 juga menyaksikan rata-rata ucapan perbahasan mahu krisis kepimpinan yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan diselesaikan segera.

Krisis berkenaan timbul susulan tindakan Muhyiddin dan Shafie mempersoalkan mengenai dakwaan penyelewengan dalam 1MDB dan dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

PAU, Umno

Artikel Berikut

Rani Kulup Nak Tanding PRU-14

Artikel Lain