suria

Ibu Didakwa Bunuh Dua Anak Diperintah Jalani Pemeriksaan Psikiatri

SUNGAI PETANI: Seorang ibu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh dua anak lelakinya, diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun memerintahkan tertuduh, Saw Shok Kian, 35,  dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama 30 hari untuk pemerhatian.

Ini susulan permohonan dikemukakan peguam merwakili tertuduh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan Farahdina Che Bakar dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anida Nasir menyokong permohonan itu.

Saw didakwa membunuh dua anaknya Tee Cong Ming ,5, dan Tee Chong Sern,2, antara 10 malam, 30 Nov hingga 3 petang, 1 Dis di sebuah rumah di Taman Wira Indah, Sungai Petani, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah menetapkan 12 Jan sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan toksilogi, kimia, forensik dan psikiatri.

Turut hadir di mahkamah ialah suami tertuduh Tee Chooi Peng, 36, serta anggota keluarganya.

Sungai Petani, Bunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain