suria

Warga Thai Dan Kekasih Dicekup Bawa Masuk Dadah Ke Langkawi

- Gambar hiasan
LANGKAWI: Seorang wanita warga Thailand dan pasangan kekasihnya, seorang lelaki tempatan, ditahan polis di sini pada Sabtu selepas disyaki cuba membawa masuk 387 gram heroin dan 9.5 gram syabu ke Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata tujuh biji pil khayal jenis Eramin 5 turut ditemui di dalam beg sandang yang dibawa oleh pasangan itu semasa mereka ditahan di Kompleks Jetty Point Kuah di sini kira-kira pukul 9.00 malam tadi.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Langkawi yang sedang menjalankan operasi Op Tapis di kawasan itu telah memberkas pasangan terbabit yang berkelakuan agak mencurigakan semasa berjalan di kompleks berkenaan," katanya.

Menurutnya wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an dan pasangannya dalam lingkungan 40-an kini sedang direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

"Siasatan turut dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1985 bagi mengesan dan menyita harta-harta suspek yang diperoleh melalui akitiviti pengedaran dadah," katanya.

Che Ghazali berkata siasatan polis setakat ini turut mendapati kesemua dadah yang dirampas cuba diedarkan di sekitar kawasan Kedawang di sini dan berdasarkan jumlahnya, bahan terlarang itu mampu menampung bekalan untuk 300 orang penagih dalam satu-satu masa.

Katanya kedua-dua saspek yang turut didapati positif sebagai pengguna dadah turut disiasat bagi mengenal pasti jaringan aktiviti mereka di Langkawi.

Artikel Lain