suria

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Terkilan Syor Masih Tak Dibawa Ke Parlimen

PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkilan kerana sehingga kini syor dan cadangan yang dikemukakan melibatkan pindaan undang-undang sejak tiga tahun lalu masih belum dibawa ke Parlimen.

Jawatankuasa itu adalah satu daripada lima badan bebas yang memantau SPRM. Ia telah mengemukakan Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2014 kepada kerajaan dan diedarkan kepada Parlimen pada 1 Disember 2015.

Antara perkara penting yang pernah disyorkan ialah cadangan pindaan undang-undang yang melibatkan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009, pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah Malaysia, aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam.

Sehubungan itu, pihak jawatankuasa itu berharap syor dan cadangan yang dikemukakan pihaknya dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah komited untuk melaksanakan perubahan supaya dapat mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia.

"Justeru, syor dan cadangan terutama melibatkan pindaan undang-undang sudah dikemukakan tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan," kata jawatankuasa berkenaan.

Kata jawatankuasa itu, Perdana Menteri sendiri telah menyatakan pendirian dari segi prinsip bahawa beliau menyokong cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

"Diharap semua pihak yang terlibat dapat memberi pertimbangan serius untuk merealisasikan hasrat murni ini," kata jawatankuasa itu.

Pada masa sama, jawatankuasa itu mengucapkan tahniah kepada SPRM yang bertungkus-lumus berusaha bagi mencegah jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini melalui strategi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

"Tindakan tegas dan proaktif SPRM melalui operasi dan tangkapan serta pendakwaan secara langsung telah dapat menyelamatkan hasil negara daripada ketirisan cukai dan juga ketenteraman awam.

"Namun begitu, usaha perlu dipergiatkan bagi mencegah jenayah rasuah secara lebih menyeluruh dan berkesan. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah juga berkeyakinan bahawa keberkesanan SPRM akan meningkat sekiranya segala cadangan dapat dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan," kata jawatankuasa itu lagi.

Cadangan lain dalam laporan jawatankuasa itu termasuk, memohon kerajaan mempertimbangkan tambahan peruntukan kepada SPRM susulan pengurangan peruntukan kewangan sebanyak RM42 juta bagi tahun kewangan 2016, menubuhkan panel bebas bagi mengkaji kertas siasatan kes-kes profil tinggi sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara serta mempertingkatkan Dasar Merakyatkan SPRM.



Artikel Lain