suria

Lelaki Rempuh Dua Sekatan Jalan, Langgar Anggota Polis Ditahan

IPOH: Lelaki yang melepaskan tembakan, merempuh dua sekatan jalan dan melanggar seorang anggota polis trafik pada Rabu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang berusia 27 tahun dari Tanjung Rambutan itu ditahan pada pukul 12.15 pagi Jumaat.

Chang Keong berkata, sepasukan polis menahan suspek berdekatan Taman Cempaka dekat sini.

"Semasa tangkapan, kami menjumpai 12.2 gram dadah methamphetamine yang dibungkus dalam plastik lutsinar.

"Suspek direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, suspek yang sedang memandu Proton Satria Neo merah merempuh sekatan jalan raya di Jalan Sultan Nazrin Shah pada pukul 3 petang, Rabu.

Dia dikejar apabila dikesan menuju ke arah Jalan Sultan Azlan dan sekali lagi merempuh sekatan jalan di situ.

Menurut Chang Keong lagi, empat motosikal polis digerakkan bagi mengejar suspek yang kemudiannya melepaskan tembakan ke arah polis. 

Polis berjaya memancitkan tayar suspek sebelum insiden itu berakhir di Kampung Baru Tambun. 

Suspek kemudian meninggalkan keretanya dan melarikan diri ke hutan berdekatan.

Anggota polis trafik yang dilanggar dibawa ke hospital untuk rawatan.


Artikel Lain