suria

"Kami Lebih Tenang Teruskan Legasi Ibu" – Anak Sosilawati

Rita Sosilawati.

PETALING JAYA: Anak sulung jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya bersyukur dengan keputusan mahkamah pada Jumaat yang membolehkan dirinya sekeluarga dapat menjalani kehidupan lebih tenang selepas ini.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 30, atau lebih dikenali sebagai Rita berkata, beliau bersyukur kepada Tuhan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengadilan yang terlibat dalam kes pembunuhan ibunya.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan Nouvelles Visages turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan kepada mereka sekeluarga selama ini. 

“Syukur Alhamdulilah, saya menerima perkara ini dengan hati yang terbuka. Saya amat berterima kasih kepada semua. Kami akan lebih tenang menjalani kehidupan selepas ini.

“Saya juga amat berpuas hati kerana arwah ibu telah mendapat hak yang sewajarnya. Semoga roh arwah ibu tenang dan diberkati,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati terhadap empat lelaki kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, lima tahun lepas.

Rita (kanan) dan Sosilawati pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 2008, antara gambar kenangan bersama ibu.

Rita dalam nada yang gembira dan terharu memanjatkan kesyukuran berkata, keputusan itu menjadi pembakar semangat buat keluarganya untuk meneruskan perjuangan arwah ibu terutama dalam legasi Nouvelles Visages.

“Kami akan lebih kuat dalam meneruskan perniagaan arwah ibu dan akan berusaha menjadikannya sebagai satu legasi sekurang-kurangnya untuk 20 tahun akan datang,” katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Dalam pada itu, beliau berharap keputusan mahkamah ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua agar tidak bertindak di luar batasan.

Tambah Rita, beliau juga merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran susulan keputusan mahkamah yang berpihak kepada dirinya sekeluarga. 

Keempat-empat lelaki itu ialah bekas peguam, N. Pathmanabhan, 45, dan pembantu ladang T. Thilaiyalagan, 23, R.Matan, 24, serta R. Kathavarayan, 35.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. 

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka dikatakan pergi ke Banting berhubung urus niaga jualan tanah.

Artikel Lain