suria

Wanita Disyaki Bunuh Dua Anak Tiada Masalah Mental - Polis

SUNGAI PETANI: Wanita berusia 35 tahun yang disyaki membunuh dua anak lelakinya di rumah mereka di Taman Wira Indah disini dipercayai mengalami gangguan mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, wanita berkenaan dimasukkan ke wad psikiatrik Hospital Sultan Abdul Halim untuk menjalani ujian bagi mengesahkan sama ada dia benar-benar mengalami masalah itu.

"Berdasarkan rekod hospital, wanita itu tidak mempunyai sejarah penyakit mental. Kami mengklasifikasikan kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukli Md Isa berkata, wanita itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan adiknya yang berusia tiga tahun ditemui datuk mereka pada pukul 3.20 petang, Selasa di dalam bilik, manakala ibu mereka berada di bilik berasingan.

Bedah siasat mendapati leher mereka dikelar, manakala salah seorang kanak-kanak itu juga mengalami kecederaan akibat dikelar pada pergelangan tangan.

Bapa mereka yang berusia 36 tahun bekerja sebagai chef di Singapura turut berada di hospital berkenaan bersama ahli keluarga untuk menuntut mayat dua anaknya pada pukul 1 petang, Rabu.

Kedua-dua mayat itu kemudiannya dibakar di krematorium Sungai Pasir pada pukul 5 petang.

Seorang jiran berkata, wanita berkenaan dan dua anak lelakinya sering dilihat berjalan sekitar kawasan perubahan itu.

"Dia kelihatan seperti seorang ibu yang baik. Saya terkejut mendengar apa yang berlaku. Sebelum ini tidak pernah dengar berlakunya pergaduhan dalam rumah itu," katanya.




Artikel Lain