suria

Gaji Permulaan Terendah Sektor Awam Bermula 1 Julai 2016 - Azalina

KUALA LUMPUR: Gaji permulaan terendah Perkhidmatan Awam yang baharu, iaitu bermula RM1,200 sebulan, akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau juga berkata mulai 1 November 2015, kerajaan menaikkan kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) termasuk kepada Kumpulan Pelaksana pada kadar minimum RM300 sebulan dan bagi pegawai mendiami kuarters pula, menerima 25 peratus daripada kadar ITP.

"Penambahbaikan ini telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil 8 Tahun 2015 - Imbuhan Tetap Perumahan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan," katanya melalui jawapan bertulis kepada soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang diedarkan di Dewan Rakyat, Rabu.

Irmohizam ingin mengetahui sekiranya kerajaan bercadang menaikkan gaji minimum kakitangan awam yang mana kadar kenaikan tahunan tidak seimbang dengan kadar kenaikan kos sara hidup.

Dalam itu, Azalina berkata kerajaan dari semasa ke semasa menjalankan kajian dan semakan terhadap gaji penjawat awam secara keseluruhannya yang turut meliputi mereka di peringkat rendah (kumpulan sokongan).-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain