suria

Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Platform Terbaik Nurul Izzah Bela Diri - Azalina

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dinasihat menggunakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membela dirinya dalam hal melibatkan pertemuan dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah pada 2013. 

Saranan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mahu Nurul Izzah memanfaatkan peluang yang diberikan untuk membela diri dan menjelaskan perkara sebenar. 

“Jawatankuasa hak adalah platform terbaik bagi Nurul Izzah untuk membela diri. Saya mencabar dia semasa pembentangan usul jangan bahas, terus terima fakta ini dan terus bela diri menerangkan kedudukan sebenar, itu lebih baik darididebat dalam dewan. 

"Saya fikir jawatankuasa yang terbaik bagi dia membersihkan nama,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Parlimen, di sini pada Rabu. 

Usul untuk merujuk Nurul Izzah ke jawatankuasa berkenaan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Disember ini.

Terdahulu, Azalina dalam satu kenyataan berkata Nurul Izzah akan dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan berhubung pertemuan dengan Jacel Kiram,anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan serangan di Lahad Datu.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk membentangkan usul di bawah Perintah Tetap 27(3) dan 80 untuk merujuk naib presiden PKR itu kepada jawatankuasa berkenaan.

Mengulas lanjut pada sidang media itu, Azalina berkata Nurul Izzah sebagai anggota Parlimen perlu matang dengan mendepani isu tersebut kerana ia melibatkan keharmonian negara khususnya rakyat Sabah.

“Jangan sensitif, jangan emosional. Jawatankuasa hak ini tidak meminta anda untuk dihukum. Kerajaan berlaku adil. Kita bagi dia peluang untuk membela diri, nak marah, nak saman-saman orang kenapa? Bagi saya beliau perlu matang, kerana rakyat Sabah ramai yang kecewa dengan beliau sekarang ini,” katanya.  

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee, dan juga terdiri daripada wakil-wakil kerajaan dan pembangkang.

Berikutan peristiwa membabitkan Nurul Izzah itu, Azalina yang juga anggota Parlimen Pengerang mencadangkan supaya setiap wakil rakyat yang akan ke luar negara supaya memaklumkan kepada Wisma Putra terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan butiran dan maklumat dua hala sekiranya ia melibatkan urusan negara. 

“Kita (kerajaan) kadang-kadang tak tahu dan tak pasti siapa-siapa di negara itu, kita akan maklumkan pada Wisma Putra. Mungkin anggota Parlimen pembangkang pun kalau nak ke mana-mana kena dapatkan garis panduan daripada kedutaan,” katanya.

Jacel telah memuat naik empat keping gambar pada 9 November lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah dan mendapat reaksi kurang senang dari pelbagai pihak. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain