suria

Perunding Terkejut Wang Tebusan Dinaikkan Saat Akhir

Bernard Then.

KOTA KINABALU: Pasukan perunding yang berusaha untuk membebaskan jurutera Malaysia, Bernard Then terkejut dengan tindakan kumpulan militan Abu Sayyaf menaikkan tuntutan wang tebusan.

Perjanjian awal untuk membebaskan lelaki berusia 39 tahun dari Sarawak itu bersama dengan pengurus restoran, Thien Yoke Fun, 50, adalah berjumlah 30 juta peso (RM2.7 juta).

Namun kemudian ia dinaikkan kepada 80 juta peso (RM7.4 juta).

Aktivis anti penculikan yang berpangkalan di Jolo, Prof Octavio Dinampo memberitahu The Star bahawa pemimpin Abu Sayyaf, Indang Susukan yang menawan mangsa, bersetuju untuk mengurangkan jumlah wang tebusan itu.

Namun sebaik menghampiri saat pertukaran, bapa saudara kepada Susukan datang mencampuri urusan tersebut dan menuntut jumlah wang tebusan yang tinggi.

Enggan berganjak, kumpulan tersebut hanya membebaskan Thien pada 8 November lalu selepas mereka hanya mendapat 30 juta peso.

Menurut Prof Octavio, kumpulan bersenjata itu turut memberikan tempoh selama seminggu kepada pasukan perunding untuk menyerahkan baki wang tebusan.

Beliau berkata terdapat sekurang-kurangnya dua pasukan perunding dari Filipina dan Malaysia.

"Saya percaya, apabila tiada baki wang diterima, jelas di fikiran kumpulan Abu Sayyaf itu, mereka akan membunuh Then," kata Prof Octavio.

Beliau tidak percaya serangan tentera Filipina ke atas kubu kuat Abu Sayyaf beberapa jam sebelum Then dibunuh merupakan punca pembunuhan jurutera itu.

"Serangan itu dilancarkan sejak lebih setahun," katanya.

Then dilaporkan mengalami kecederaan kaki yang menyukarkan pergerakannya sehingga menjejaskan operasi kumpulan itu untuk melarikan diri bagi mengelakkan pertempuran dengan tentera kerajaan.

Malah, Then turut dipercayai kehilangan cermin matanya menyebabkan dia tidak dapat melihat dengan jelas.

Menurut sumber lain di Jolo, kumpulan Abu Sayyaf menaikkan wang tebusan kepada 370 juta peso (RM34.2 juta) menjadikan situasi itu mustahil untuk pasukan perunding.

Namun sumber lain memberitahu kumpulan tersebut membunuh Then kerana mereka kecewa apabila sebahagian wang tebusan mereka dirampas kumpulan militan lain.

Prof Octavio berkata satu kepala yang diisi di dalam karung dijumpai di bandar Jolo menunjukkan bahawa Abu Sayyaf mengambil serius tindakan tidak menyerahkan baki wang tebusan.

"Mereka pernah melakukannya sebelum ini. Ia satu mesej bahawa tiada siapa boleh mempermainkan mereka," katanya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata;"Kami berusaha untuk berunding mengenai pembebasan Then tetapi malangnya ia tidak berjaya."

Then dan Thien diculik dari restoran Ocean King di Sandakan pada 14 Mei lalu.

Tentera Filipina melaporkan Then dipenggal kumpulan tersebut pada petang Selasa.


Artikel Berikut

Artikel Lain