suria

KPDNKK Bakal Perkenal Penyelarasan Harga E-Rokok

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  akan mengeluarkan penyelarasan harga mengikut kepiawaian khusus untuk rokok elektronik atau e-rokok bagi memastikan keselamatan penggunanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan dan Sirim Bhd bagi merangka garis panduan dan penyelerasan harga untuk e-rokok itu.

Katanya, kementerian tidak bercadang untuk menyekat pengimportan vape ke dalam negara namun kerajaan harus memberi perhatian dari segi keselamatan dan kesihatan pengguna.

"Pengguna vape kini sudah capai lebih sejuta dan kita bukan nak halang mereka cuma nak cari jalan selamat untuk pengguna-pengguna ini.

"Kami tidak menyekat mereka (penjual vape), kalau dia tidak jual secara terbuka, dia akan jual dalam pasaran gelap juga. Jadi kita ingin mengelak perkara daripada berlaku, oleh itu kita sedang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian," katanya selepas Lawatan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di Little India di sini Ahad.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata beliau berpuas hati dengan tinjauan harga barang di Kompleks Pasar Bayan Baru dan Little India di negeri ini.

Katanya, kementerian telah membuat lebih 12,000 pemeriksaan di seluruh negara dan tiada sebarang kes direkodkan kerana semua peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Semua bekalan dan barangan sambutan perayaan Deepavali ini mencukupi mengikut harga yang ditetapkan pada permulaan Skim Kawalan Harga dari 5 hingga 14 November," katanya. 

Antara barang keperluan yang disenaraikan dalam harga terkawal termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang besar import, ubi kentang import dan kacang dal. - BERNAMA

e-rokok, KPDNKK, vape

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain