suria

Kenyataan Balik Tongsan: Abdul Azeez Perlu Minta Maaf - Wanita MCA

Heng Seai Kie.

KUALA LUMPUR: Wanita MCA menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung kenyataan 'balik tongsan' yang dikeluarkannya semasa di Dewan Rakyat.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata kenyatan berbaur perkauman itu adalah tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen kerana ia tidak membantu memupuk keharmonian di dalam negara.

"Selama beberapa generasi, masyarakat Cina di Malaysia memberikan sumbangan besar terhadap kemerdekaan, mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, perkhidmatan kesihatan, politik, ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.

"Semangat patriotik dan kesetiaan kami terhadap negara tidak boleh dipersoalkan dan tidak pernah goyah.

"Mungkin Abdul Azeez boleh menyedarkan kita bagaimana beliau menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan 'balik tongsan' dibangkitkan semasa sesi bahas Bajet 2016, Rabu lalu apabila Abdul Azeez mengemukakan satu soalan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi diganggu beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong dari DAP.

Abdul Azeez bagaimanapun menarik balik kenyataan tersebut apabila diarahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Abdul Azeez telah menjejaskan nama baik Umno dan Barisan Nasional.

"Sokongan politik kita terjejas akibat mulut celupar ahli politik seperti beliau," katanya.

Beliau turut mengingatkan mereka supaya lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap perasaan orang lain.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain