suria

Mohan, Vigneswaran Dan Jaspal Dipilih Naib Presiden MIC

SERDANG: Bekas Ketua Pemuda MIC Datuk T. Mohan dan Datuk S.A. Vigneswaran dan bekas bendahari agung Datuk Jaspal Singh dipilih sebagai naib presiden parti pada pemilihan semula MIC di sini, Jumaat.

Calon yang gagal dalam persaingan itu ialah Ketua Penerangan MIC Datuk V.S. Mogan.

Jumlah undi calon-calon yang menang bagaimanapun tidak diumumkan kerana perbezaan undi antara mereka sangat kecil.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-67 di sini.

Semasa pemilihan parti 2013 di Melaka, jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk S.Sothinathan dengan 717 undi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan memperoleh 716 undi sementara S. Balakrishnan mendapat 683 undi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mengekalkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dengan 1,249 undi sementara anak lelaki bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Velu, Datuk Vel Pari dipilih sebagai muka baharu dalam CWC dengan memperoleh 965 undi.

Kedua-dua mereka dipilih dalam kalangan 23 calon yang menewaskan 44 lagi calon yang bersaing bagi kerusi CWC.

AGM yang dijadualkan pada 13 dan 14 Dis tahun lepas ditangguhkan atas arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mahu parti mengadakan AGM selepas pemilihan semula diadakan bagi ketiga-tiga jawatan naib presiden, anggota CWC serta lapan bahagian.

ROS membatalkan pemilihan parti yang diadakan pada November 2013 selepas menerima aduan mengenai salah laku semasa proses pemilihan.

MIC

Artikel Lain