suria

Pemilik Ampang Park Mahu MRT Corp Pertimbang Semula Keperluan

KUALA LUMPUR: Majoriti pemilik unit strata Pusat Beli-Belah Ampang Park mahu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bermesyuarat dengan mereka bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai projek MRT.

Dr Dzulkhaini Husain, seorang daripada pemilik strata Ampang Park berkata mereka perlu berbincang dengan MRT Corp mengenai perjanjian bersama bagi reka bentuk baharu stesen MRT Ampang Park untuk dikaji semula.

Beliau mengalu-alukan langkah MRT Corp memperkenalkan reka bentuk baharu bagi stesen Ampang Park yang menyaksikan pusat beli-belah itu terselamat daripada dirobohkan tetapi berkata ada aspek tertentu dalam perjanjian yang perlu dibincangkan bagi mengelakkan lagi kekeliruan.

"Satu daripada aspek yang dipersoalkan oleh kebanyakan pemilik strata ialah perlunya mendapatkan keputusan sebulat suara oleh pemilik sebelum 31 Jan, 2016 untuk membolehkan opsyen ini berkuat kuasa," kata beliau.

Dr Dzulkhaini, yang menghadiri mesyuarat dengan MRT Corp dan pemilik unit  strata yang lain pada Selasa (3 Nov) berkata, adalah mustahil bagi semua pemilik strata untuk membuat keputusan kerana terdapat beberapa lot milik bank dan sesetengah pemilik pula menetap di luar negara.

"Bagaimana kami hendak mendapatkan persetujuan mereka mengenai perkara ini? Kami memerlukan persetujuan 100 peratus daripada kesemua 253 pemilik unit strata bagi perjanjian bersama itu. Jika seorang pemilik tidak bersetuju, maka mereka tidak akan meneruskan perjanjian bersama tersebut," katanya.

Seorang lagi pemilik Mah Kok Leong, yang mempunyai sebuah kedai elektrik di pusat beli-belah itu sejak 1970, mempunyai pandangan yang sama dengan Dr Dzulkhaini dan berharap MRT akan mempertimbangkan keperluan itu.

Beliau juga bersetuju bahawa rancangan untuk membina stesen MRT di Ampang Park memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di pusat beli-belah itu tetapi untuk mencapainya, semua pihak perlu duduk bersama dan berbincang lebih lanjut.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa MRT Corp telah mengumumkan opsyen reka bentuk baharu bagi stesen Ampang Park untuk menyelamatkan pusat beli-belah itu daripada dirobohkan.

Bagaimanapun, dengan opsyen reka bentuk baharu, perjanjian bersama masih perlu digubal antara MRT Corp dan para pemilik unit dengan semua pemilik perlu membuat keputusan sebulat suara.

Sementara itu, naib presiden Persatuan Peniaga 1Malaysia Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kasim berkata semua pihak harus mengadakan satu lagi perbincangan berhubung perkara itu demi mengekalkan pusat beli-belah berusia 43 tahun itu.

Mesyuarat perlu membabitkan kesemua 253 pemilik unit strata termasuk bank selaku pemilik beberapa lot beli-belah, MRT Corp, dan juga persatuan peniaga.

"Satu-satunya cara untuk mencapai hasil ialah MRT Corp perlu bertemu sekali lagi dengan kami dan membincangkan dengan lebih lanjut. Biarlah ia berada dalam situasi menang-menang," kata beliau.

Rancangan sebelumnya oleh MRT untuk membina stesen bawah tanah di tapak  pusat beli-belah itu, yang memerlukan bangunan Ampang Park dirobohkan.

Stesen MRT Ampang Park ialah stesen yang penting bagi MRT Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Jajaran SSP) kerana ia satu-satunya stesen yang membolehkan penumpang membuat pertukaran dari Sistem MRT ke Sistem LRT Kelana Jaya.

MRT Corp, Ampang Park

Artikel Sebelum

Artikel Lain