suria

Ahli Parlimen PAS Akan Sokong Undi Tidak Percaya Terhadap PM - Mustafa

Mustafa ALi

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PAS akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia adalah keputusan yang ditetapkan parti berkenaan.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, selari dengan keputusan parti itu, beliau yakin ia akan dilaksanakan kepimpinan PAS.

"Penjelasan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti mengambil sikap berkecuali dalam Bajet 2016 dengan alasan yang dinyatakan, tetapi akan menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan Umno adalah tepat," katanya.

Malahan, Mustafa memetik kata Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak bahawa masalah 1MDB dan isu berkaitan telah menyebabkan susah untuk mempromosikan Malaysia.

"Semua masalah ini berkait dengan Perdana Menteri termasuk derma RM2.6 bilion yang sudah menjadi jenaka dunia," katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menerusi laman Facebooknya memberitahu, PAS tetap akan melawan Umno dan sama sekali tidak akan membentuk kerjasama dengan parti itu.

Mustafa Ali, PAS, Perdana Menteri

Artikel Lain