suria

CEO Berpangkat Datuk Cedera Dipukul

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat berpangkat 'Datuk' di sini cedera dipukul dua lelaki ketika keluar dari kedai makan di Air Itam, Selasa.

Lelaki berusia 50-an itu dilapor dipukul dengan kayu menyebabkan dia cedera di badan dan muka serta ditinggalkan di tepi jalan.

"Datuk yang baru keluar dari kedai itu selepas bersarapan kira-kira pukul 9 pagi dihampiri dua lelaki bermotosikal yang memakai topi keledar bercermin gelap dan memukul datuk berkenaan," kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, ketua pegawai eksekutif itu kemudian mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan polis masih menyiasat punca kejadian.

Menurutnya, polis telah mengenal pasti dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan telah menubuhkan pasukan khas untuk mengesan mereka.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Thaiveegan menerima 70 kereta peronda polis (MPV) baharu untuk polis kontinjen Pulau Pinang.

Beliau berkata, kesemua MPV baharu itu adalah untuk menggantikan kereta peronda yang telah mencapai had usia penggunaannya.

"Jumlah kekuatan MPV bagi kontinjen Pulau Pinang dan lima ibu pejabat polis daerah kini ialah 228," katanya. - Bernama

Artikel Lain