suria

Malaysia Perlu Jadi Sebahagian Proses Untuk Tangani Faktor Luaran - PM

UCAPAN… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di perkarangan Bangunan Perdana Putra, Isnin. Perhimpunan berlangsung dalam cuaca yang baik setelah Putrajaya bebas dari jerebu yang melanda baru-baru ini.-fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada forum atau proses untuk mampu menangani pelbagai faktor luaran bagi mengekang tempias negatifnya kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menyedari bahawa pelbagai faktor luaran seperti keganasan, jenayah, iklim dan ekonomi adalah di luar kawalannya sehingga turut memberi kesan kepada Malaysia.

Beliau memberikan contoh kejatuhan harga minyak mentah dunia dan pengucupan ekonomi dunia seperti China telah memberi pengaruh serta impak negatif kepada Malaysia.

"Banyak kesan atau faktor yang luar daripada kawalan kita, faktor yang memberi kesan kepada negara kita.

"Sedikit sebanyak kalau kita nak tangani (faktor luaran) kita perlu jadi sebahagian daripada forum atau proses bagaimana nak tentukan (cara) untuk tangani isu-isu tersebut," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib juga memberikan contoh jerebu yang melanda negara turut menjadi antara faktor luaran di luar kawalan sehingga menyebabkan perhimpunan bulanan JPM yang dijadual pada Oktober ditunda.

Perdana menteri menarik perhatian apabila berkata walaupun sukar untuk mengawal faktor luaran, namun kerajaan perlu mampu untuk mengawal, merancang serta menangani faktor dalaman atau domestik bagi membolehkan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

Buktinya kemampuan mengawal faktor dalaman telah membolehkan kerajaan menyediakan Bajet 2016 yang berupaya mensejahterakan kehidupan rakyat, katanya.

Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Rakyat' dibentangkan perdana menteri pada 23 Oktober lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Peminat Rajnikanth Serbu Bangsar

Artikel Lain