suria

Bajet 2016: Rehda Minta Kaji Langkah Berkaitan Hartanah

KUALA LUMPUR: Saranan mengkaji semula langkah-langkah berkaitan jualan hartanah di Malaysia dikemukakan oleh Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) sebagai harapan untuk Bajet 2016.

Bagi memudahkan pembelian rumah di negara ini, Rehda berkata bank perlu memperkenalkan skim mesra pembeli rumah yang baharu terutamanya bagi pembeli kali pertama untuk harga rumah sehingga RM500,000.

Presidennya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor, berkata sebahagian daripada langkah tersebut yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2014 memberi kesan negatif kepada keupayaan pembeli untuk mendapatkan pembiayaan.

"Bank perlu membenarkan beberapa bentuk fleksibiliti.

"Kriteria untuk kelulusan pinjaman perlu lebih mudah, dan fleksibiliti harus diberikan, terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama dan harga rumah sehingga RM500,000," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Rehda turut mengemukakan lima cadangan lain -- penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS), pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk rumah mampu milik dan hartanah kawalan, semakan dasar kuota Bumiputera, pengurangan kos menjalankan perniagaan untuk industri, dan peningkatan penawaran rumah mampu milik.

"Dengan banyak syarikat dan badan kini berusaha menyediakan rumah mampu milik di negara ini, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah badan tunggal untuk melihat rumah berharga RM100,000 hingga RM500,000, dan rumah berharga RM100,000 dan ke bawah," katanya.

Rehda, Hartanah, Bajet 2016

Artikel Lain